Malah, sebagai ketua keluarga, kalangan kaki judi dan nombor ekor telah gagal menunaikan tanggungjawab memelihara diri serta keluarga daripada terjerumus ke dalam api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada batu dan manusia ingkar. Justeru itu, setiap Muslim diseru berusaha menyara diri dan keluarga dengan melakukan aktiviti berfaedah dan diharuskan oleh syariat walaupun kemungkinan gajinya sedikit serta memenatkan. 



Nabi Muhammad SAW bersabda: Sebaik-baik pekerjaan ialah usaha seseorang dengan tangannya sendiri. Begitu pula susah payah seseorang mencari kayu api kemudian dipikul dan dijual di pasar adalah lebih mulia daripada perbuatan meminta-minta yang belum tentu diberikan apa-apa. 



Bekerja dengan cara diredai 



Jelasnya Islam sangat menggalakkan umatnya bekerja bersungguh-sungguh dengan cara diredai demi meningkatkan potensi diri, keluarga dan masyarakat Islam umumnya. 



Menurut perspektif yang lain, kesungguhan Muslim melaksanakan kerja ibadat dengan ikhlas sambil mengharap magfirat dan kurnia daripada-Nya mampu memberi pulangan rezeki melimpah ruah lagi diberkati. Solat sunat Duha sebagai contohnya jika dilakukan dengan konsisten sambil berharap sepenuhnya kepada kurnia Allah SWT mampu menjadikan individu Muslim kaya dengan rezeki dan kaya dengan rahmat- Nya. 



Hal ini dizahirkan lagi dengan munajat hamba yang berharap agar jika rezekinya di langit diturunkan, jika di bumi dikeluarkan, jika di dasar laut ditimbulkan, jika jauh didekatkan dan jika sedikit diperbanyakkan. 



Tunai zakat, bersedekah 



Selain itu, dengan menunaikan zakat yang difardukan, sentiasa bersedekah dan membantu golongan daif yang memerlukan akan menambahkan lagi keberkatan rezeki diperoleh. Baginda Nabi SAW pernah menyatakan tidak akan menyesal individu yang beristikharah dan dan tidak akan jatuh miskin orang yang bersedekah. Lebih daripada itu segala infak fi sabilillah pasti akan dibalas oleh-Nya dengan ganjaran yang setimpal di dunia dan akhirat. 



Allah SWT berfirman: Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil atau yang besar dan tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah membalas dengan balasan lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. (Surah al-Tawbah, ayat 121) 



Begitu pula pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit oleh jutaan tetamu Allah SWT termasuk sejumlah 28,000 jemaah haji Malaysia yang sedang dalam perjalanan menyahut seruan dan panggilan haji, pasti tidak akan dipersiakan berikutan pelbagai ganjaran berlipat kali ganda bakal dinikmati. 



Semua nikmat itu sama ada yang bersifat duniawi mahupun ukhrawi adalah kurniaan yang tiada tolok bandingnya. Ini kerana kelebihan dua tanah haram yang menjanjikan perkenan akan segala doa dan balasan berganda yang tidak dinikmati di kawasan lain. 



Ambil kesempatan berharga di Tanah Suci 



Malah ketika tawaf, seseorang disunatkan membaca doa yang bermaksud: Ya Allah jadikanlah diriku berpuas hati dengan pemberian-Mu, berkatilah apa yang Engkau anugerahkan kepadaku dan gantikanlah apa yang hilang daripadaku dengan apa yang baik-baik. 



Justeru, setiap tetamu Allah perlu mengambil kesempatan berharga di Tanah Suci untuk mempertingkat usaha melakukan pelbagai aktiviti ibadah disamping tidak lupa bermunajat dan bermohon kepada-Nya supaya dimakbulkan hajat termasuklah dibukakan segala pintu rezeki. Muslimin perlu memahami harta dan kemewahan dunia boleh jadi satu indikator untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan seseorang hamba. Untuk itu juga golongan berada selalunya diuji dengan sifat bakhil dan kedekut yang menyebabkan mereka jauh daripada rahmat serta petunjuk Ilahi. 



Pada masa sama, kekurangan dan kemiskinan juga satu daripada bentuk ujian Allah SWT untuk menilai keikhlasan hamba mengabdikan diri kepada-Nya. Allah SWT berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut. (Surah al-Isra, ayat 100) 



Sesungguhnya yang pipih tak akan terbang melayang dan yang bulat tak akan datang bergolek. Setiap Muslim diseru berusaha mencari rezeki yang halal lagi diberkati. Berharap keuntungan sementara dengan berjudi dan tikam nombor pasti menyebabkan individu Muslim terhindar daripada petunjuk Ilahi dan bakal mengundang kemurkaan-Nya.