Wednesday, September 26, 2012

Akhbar Mesir Terbit Karikatur ‘Lawan’ Majalah Perancis Hina Nabi



Akhbar Mesir terbit karikatur ‘lawan’ majalah Perancis hina Nabi
Satu lagi karikatur dibawa akhbar Al-Watan.
Akhbar Mesir terbit karikatur ‘lawan’ majalah Perancis hina Nabi
Salah satu daripada 13 karikatur dibawa oleh akhbar Mesir, Al-Watan. – Foto ihsan BBC
KAHERAH - Akhbar Mesir mula melancarkan kempen membalas karikatur majalah Perancis, Charlie Hebdo yang menghina Nabi Muhammad SAW minggu lalu.
Laporan BBC menyebut Al-Watan menerbitkan 13 karikatur kelmarin di bawah slogan "Lawan karikatur dengan karikatur".
Salah satunya menunjukkan pemandangan Menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) terbakar dengan kapsyen berbunyi "Kaca mata Barat bagi dunia Islam".
Majalah Charlie Hebdo menyiarkan karikatur susulan klip video yang dimuat naik menerusi YouTube awal  bulan ini.
Hampir 60 orang dilaporkan terbunuh dalam protes ganas membantah filem Innocence of Muslims dan karikatur majalah itu.
Protes membantah filem itu tercetus di Mesir dan Libya pada 11 September lalu.
Al-Watan dilaporkan memperuntukkan 12 muka surat untuk membalas kandungan dibawa Charlie Hebdo. Karikatur-karikatur dimuatkan dalam dua halaman penuh.
Seksyen itu juga menyertakan artikel ditulis oleh penulis-penulis sekular popular, antaranya Pengarah Penyelidikan Carnegie Middle East Centre, Amr Hamzawi dan Mufti Besar Mesir, Ali Gomaa.
Laporan BBC juga menyebut bahawa pembaca-pembaca Al-Watan, yang kritikal ke atas Presiden Mesir, Mohammed Mursi, memberi reaksi positif dengan memuji idea tersebut.
WARTAWAN SINAR HARIAN
26 September 2012

Mudah Tersasar Tanpa 'Antibodi' Islam


Pascamodenisme Bawa Pengaruh Anti-Tuhan Patut Ditangani Elak Ummah Sesat

   Umat Islam sedang melalui fasa agak kritikal iaitu mengalami perpecahan berterusan dan berdepan serangan terancang tamadun Barat untuk meruntuhkan terus perpaduan ummah.  Dalam cabaran globalisasi yang semakin hebat, umat Islam kini umpama sekumpulan biri-biri yang dikerumuni, diacah dan dikejar sekawan serigala yang menunggu masa untuk membaham. 

Cukup wadah ahli Sunnah Waljamaah untuk umat Islam pegang dan ia akan dapat meningkatkan perpaduan serta menyatukan kita”. - Zakaria Stapa, Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
Lihatlah berapa banyak negara Islam khasnya di Asia Barat yang musnah akibat agenda Barat menerusi tindakan serangan fizikal dan pemikiran?

Strategi Barat Pecah-belah Umat Islam

   Strategi dan pendekatan diguna pakai Barat ialah dengan mewujudkan dan menyebarluaskan perselisihan dalaman dunia Islam serta menjadikan umat Islam berpuak-puak hanya kerana perbezaan idea dan pemikiran.

   Segala perancangan ini adalah muslihat Barat bagi menyekat Islam berkembang selain melumpuhkan potensi ummah untuk maju bagi memastikan dominasi mereka dalam bidang ekonomi, politik dan sosial berkekalan. Justeru, bagi menangani indoktrinasi Barat terhadap saki-baki dunia Islam yang masih mampu berdiri dengan kekuatan sedikit seperti negara di rantau Asia Tenggara, umat Islam perlu mengelak daripada terperangkap.

   Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa, berkata umat Islam perlu bersatu di bawah satu kesatuan sebenar iaitu ahli Sunnah Waljamaah, menilai fahaman pascamodenisme yang mencabar kelangsungan mazhab ahli Sunnah dan menganalisis ciri pascamodenisme yang berpotensi meruntuhkan benteng serta sendi ahli Sunnah Waljamaah.

   Beliau mengingatkan, kefahaman dan kepatuhan ummah terhadap mazhab ini boleh menjadi senjata ampuh bagi memerangi pelbagai anasir yang cuba menghancurkan kelangsungan serta jati diri ummah.

   Zakaria menjelaskan, umat Islam perlu sedar pascamodenisme sedang bergerak aktif menyelinap masuk ke dalam segenap bidang kehidupan dan menguasai denyut nadi perjalanan kehidupan manusia kontemporari yang mana media, politik, budaya dan agama adalah saluran utama penyebarannya. Ia bermakna, semua set nilai dan gaya hidup yang mendefinisikan pascamodenisme menjadi pegangan dan penghayatan manusia semasa, khasnya di Barat.

Sebar Fahaman Sekularisme

Namun, dalam konteks pascamodenisme, Barat menggunakan fahaman sekularisme yang membuat serangan hebat ke atas semua bentuk keyakinan yang mengatakan terdapat suatu kebenaran mutlak, sama ada kebenaran itu diasaskan wahyu Ilahi atau akal manusia.

“Perlu dijelaskan, oleh kerana fahaman dan pemikiran pascamodenisme ini adalah lanjutan atau fasa baru fahaman sekularisme Barat, maka ia akan bersifat anti-agama dan anti-Tuhan.

Fahaman sekularisme tajaan Barat moden sudah berjaya mensekularisasikan seluruh dunia termasuk dunia Islam. Proses sekularisasi ini tidak lain hanya proses pembebasan manusia daripada kongkongan agama dan kawalan metafizik,” katanya.

Pelbagai bentuk salah laku akhlak yang membimbangkan di Malaysia pada hari ini seperti penagihan dan pengedaran dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan dan pembunuhan bayi, gejala lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), rogol, pecah amanah, rasuah, bunuh dan pelbagai jenayah adalah gambaran proses sekularisasi yang melanda umat Islam.

Zakaria berkata, kumpulan Muslim yang sudah tersasar dan kehilangan ‘antibodi’ keislaman ini akan mudah menjadi mangsa atau alat kepada fahaman pascamodenisme dalam proses penyebarannya yang bertujuan melumpuhkan sendi akidah dan ajaran Islam.

“Fahaman sekularisme ini turut merangkumi fahaman Islam liberal yang mendukung pluralisme agama yang berpendirian semua agama adalah sama dan benar yang juga semakin berkembang di tengah kehidupan masyarakat Islam di Malaysia,” katanya.

Pegangan Sunnah Waljamaah diperkukuh

Justeru, bagi memastikan umat Islam berupaya menghadapi cabaran pascamodenisme, sekularisme dan globalisasi, pegangan terhadap ahli Sunnah Waljamaah yang sedia wujud sejak berzaman di rantau ini perlu diperkukuhkan.

“Tidak perlu kepada akidah lain untuk dipegang, cukup wadah ahli Sunnah Waljamaah untuk umat Islam pegang dan ia akan dapat meningkatkan perpaduan serta menyatukan kita, sekali gus menjadi benteng untuk mengharungi segala cabaran masa kini,” katanya.
 Anwar Patho Rohman

Tuesday, September 25, 2012

Salam Ke atas Nabi


Salam Ke atas Nabi

IMAM Darul Hijrah Malik bin Anas merupakan orang yang paling kuat dan tegas dalam memuliakan Nabi SAW. Beliau tidak pernah memakai kasut dan menunggang kenderaan tunggangan ketika berjalan di Madinah al Munawwarah, juga tidak pernah melepaskan hajatnya di situ kerana menghormati, mengagungkan dan memuliakan bumi yang pernah dipijaki Rasulullah SAW.

   Beliau pernah berpesan kepada Amir al Mukminin al Mahdi ketika kedatangannya ke Madinah: "Sesungguhnya sekarang ini kamu sedang memasuki Madinah. Kaum yang kamu lalui di kiri dan kanan kamu itu adalah anak-anak kaum Muhajirin dan Ansar, maka ucapkanlah salam kepada mereka. Sesungguhnya tiada satu kaum di muka bumi ini yang lebih baik daripada penduduk Madinah dan tiada bumi yang lebih baik daripada Madinah (kecuali Mekah di sisi Jumhur). Baginda bertanya kepadanya, "Bagaimana kamu boleh berkata seperti ini, wahai Abu Abdullah?" Beliau menjawab, "Sesungguhnya tidak diketahui (secara pasti) kubur seorang Nabi pun pada hari ini di atas muka bumi ini melainkan kubur Muhammad SAW. Maka orang yang terdapat di sisi mereka kubur Muhammad SAW ini sepatutnya diketahui kelebihannya."

   Di antara sikap yang menunjukkan kesungguhannya memuliakan Madinah ialah beliau tidak suka orang berkata: "Kami telah menziarahi kubur Nabi SAW." Beliau seolah-olah mahu orang berkata, "Kami telah menziarahi Nabi SAW" secara langsung tanpa ada lafaz kubur, kerana kubur itu adalah tempat yang ditinggalkan berdalilkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Dirikanlah solat di rumah-rumah kamu dan janganlah kamu jadikannya (seperti) kubur-kubur (tempat yang ditinggalkan)."

   Di dalam kitab Fath al Bari, al Hafiz Ibnu Hajar al Asqalani menyatakan pendapatnya dengan berkata: "Perkataan kubur ini dianggap makruh oleh Malik kerana adabnya terhadap Rasulullah SAW, bukan makruh pada asal perbuatan ziarah, kerana ia adalah sebaik-baik amalan dan semulia-mulia ibadah yang menyampaikan seseorang kepada Allah. Pensyariatannya adalah perkara yang telah diputuskan dengan ijmak ulama tanpa ada sebarang perbezaan pendapat."
Imam Abu Imran pula berkata: "Imam Malik memakruhkan perkataan 'Tawaf Ziarah' dan 'Kami menziarahi kubur Nabi SAW' kerana perkataan tersebut juga digunakan oleh manusia sesama mereka. Bahkan, secara umumnya, ia mengandungi penyamaan antara Nabi SAW dengan manusia biasa. Beliau lebih suka dikhususkan kepada Baginda SAW dengan mengucapkan, "Kami mengucap salam ke atas Nabi SAW."

Hindari syirik
Amalan ziarah merupakan sesuatu yang digalakkan, manakala bermusafir untuk menziarahi kubur Nabi SAW adalah satu kemestian, selain penduduk Madinah untuk menyampaikan mereka ke destinasinya. Allah SWT juga telah memakbulkan doa Baginda SAW dengan menghindarkan umat Islam yang datang menziarahinya daripada melakukan perbuatan syirik. Sejauh mana sekalipun rasa kasih yang membuak-membuak terhadap Baginda SAW ketika mereka menziarahinya, Allah SWT tetap memelihara akidah mereka daripada terjerumus ke lembah syirik.

   Buktinya tidak ada walau seorang pun dalam satu zaman yang menyembah Nabi SAW selepas menziarahinya. Semua itu dipetik berdasarkan doa Nabi SAW: "Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan kubur saya sebagai berhala yang disembah selepas kewafatan saya, amat dahsyatlah kemurkaan Allah ke atas kaum yang menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai tempat sujud."
Imam Malik menghalang penyandaran lafaz ini (ziarah) kepada kubur Nabi SAW. Ulama berkata bahawa jika yang dimaksudkan itu ialah makruh melakukan ziarah, nescaya Imam Malik akan berkata, "Saya tidak menyukai (menghukum makruh) seseorang menziarahi kubur Nabi SAW." Tetapi beliau berkata, "Saya tidak menyukai (menghukum makruh) seseorang itu berkata menziarahi kubur Nabi" yang menunjukkan kepada maksud makruh menggunakan lafaz ini sahaja.

   Al Hafiz al Zahabi di dalam kitabnya Siyar A'lam al Nubala' (4/485) menyatakan: "Bagi orang yang menziarahi itu mendapat pahala berziarah dan pahala berselawat, sedangkan orang yang berselawat di serata negara yang lain hanya mendapat pahala berselawat. Barang siapa yang berselawat ke atas Baginda SAW sekali, Allah akan berselawat ke atas orang itu 10 kali. Akan tetapi, barang siapa yang menziarahi Baginda SAW tetapi tidak mengikut adab ziarah atau bersujud ke kuburnya ataupun melakukan perbuatan yang tidak disyariatkan, maka dia telah melakukan kebaikan dan kejahatan.

   Semestinya orang ini diberi tunjuk ajar dengan lemah-lembut kerana Allah itu Maha Pengampun dan Pengasih. Demi Allah! Tidak mungkin berlaku ke atas seorang Muslim bersesak-sesak, menjerit-jerit, mencium dinding dan menangis melainkan dia seorang yang cintakan Allah dan Rasul-Nya. Cintanya ini adalah neraca dan pembeza antara ahli syurga dan ahli neraka.

ARKIB : 25/09/2012

Saturday, September 22, 2012


Jaga Sensitiviti Agama


TERSENTUH perasaan umat Islam di seluruh dunia apabila filem anti-Islam,Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam disiarkan. Biarpun penyiarannya telah disekat di beberapa negara termasuk Malaysia daripada diakses melalui saluran YouTube, saya rasa tindakan penghasilannya amat tidak wajar dan patut dijatuhkan hukuman yang setimpal. Sebagai orang Islam, saya tertanya-tanya mengapa mereka menghasilkan filem sedemikian sehingga alpa untuk menjaga sensitiviti masyarakat dunia yang berbilang kaum, terutama yang berkaitan dengan aspek agama serta budaya. Adakah kerana pembikin filem kontroversi itu, Sam Bacile, kehabisan modal ataupun mereka sekadar berniat untuk mencabar kesabaran dan mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

   Namun apa pun alasan yang diberikan Sam Bacile, jelas kandungan Innocence of Muslims menghina agama Islam. Sepatutnya, sebagai pengarah filem yang waras dia perlu tahu had berkarya sekali gus menjaga sensitiviti agama lain. Tetapi nampaknya dia tidak waras dan dengan kata lain, leka berkarya memburukkan nama sendiri dengan alasan hak kebebasan bersuara yang tidak boleh disekat. Akhir kata, jangan sekadar berapi-api membantah filem Innocence of Muslimssahaja kerana filem tempatan pun apa kurangnya. Pulau sahaja filem yang tidak bermoral.

ANTI SAM BACILE
Kuala Lumpur


Rukun Haji

BAGI mereka yang mengerjakan haji, salah satu perkara yang sangat penting untuk mereka kerjakan ialah rukun haji. Selain daripada wajib-wajib haji, rukun haji sangat-sangat penting dalam amalan haji. Ia hendaklah dilaksanakan oleh jemaah haji, jika tidak ditunaikan, sama ada dengan sengaja atau terlupa atau tidak dilaksanakan atau dilaksanakan tetapi tidak sempurna maka hajinya juga tidak sah. Jemaah haji dinasihatkan supaya belajar tentang rukun-rukunnya secara terperinci agar dapat dilaksanakan ibadat haji dengan keyakinan bahawa perkara yang dibuat itu sempurna. Rukun haji ialah;

1. Niat Ihram Haji

Niat ihram haji ini dilafaz dan berniat dalam hati ingin mengerjakan haji dengan lafaz "Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah SWT" (untuk Haji Tamattuk dan Haji Ifrad). Manakala lafaz "Sahaja aku mengerjakan haji dan umrah serentak dengannya aku berihram haji dan umrah kerana Allah SWT" (bagi mereka yang mengerjakan Haji Qiran). Dengan lafaz ini, maka bermulalah amalan haji. Jemaah haji perlu menjaga perkara-perkara wajib haji seperti larangan dalam ihram (perkara yang dilarang dalam masa mereka berada dalam ihram sehinggalah mereka tahallul). Lafaz atau niat ihram boleh dilakukan walaupun tanpa dalam keadaan berwuduk (bersuci) seperti mereka yang berada dalam haid dan lain-lainnya kerana lafaz niat haji tidak disyaratkan dalam keadaan bersuci.
Sememangnya lafaz itu disebutkan semasa atau sebelum melintas miqat. Bagi mereka yang sudah berada di Tanah Suci Mekah maka miqatnya di Mekah itu sendiri dan semestinyalah jemaah haji tersebut berpakaian ihram. Jika jemaah haji datang dari luar Mekah, ia mestilah berniat ihram di tempat arah mereka datang. Contohnya, kalau dari Madinah tempat miqat ialah di Bir Ali (Zulhulaifah). Kalau dari Malaysia dan terus memasuki Mekah, miqatnya ialah di Qarnul Manazil.

2. Wukuf di Padang Arafah

Wukuf bermaksud berhenti atau berada di Padang Arafah pada masa yang ditetapkan. Wukuf sangat penting kerana Nabi SAW bersabda: "Haji itu mesti berwukuf di Arafah". Fahaman daripada itu bererti jemaah haji yang sudah berpakaian ihram dan berniat ihram mesti berada atau pergi ke Padang Arafah. Jika tidak, hajinya tidak sah kerana ia adalah rukun haji. Wukuf di Arafah bermaksud mesti berada di Arafah walaupun seketika dalam sebarang keadaan dari masa gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) pada 9 Zulhijjah sehingga masuk waktu Subuh pada 10 Zulhijjah. Pada hari tersebut, jemaah haji disunatkan untuk memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah SWT seperti; solat sunat, berdoa, berzikir dan lain-lainnya. Berdoa di Arafah adalah salah satu tempat yang mustajab kita berdoa. Tidak disunatkan bagi mereka yang mengerjakan haji berpuasa pada hari Arafah.

3. Tawaf Rukun Haji

Tawaf rukun haji merupakan rukun haji yang ketiga selepas daripada niat ihram haji dan wukuf di Padang Arafah. Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah di Baitul Haram sebanyak tujuh pusingan, bermula di penjuru Hajarul Aswad dan berakhir pada sudut yang sama menurut syarat-syarat tertentu. Tawaf pada asasnya mempunyai tujuh jenis iaitu; tawaf qudum (tawaf selamat datang), tawaf rukun umrah, tawaf rukun haji, tawaf sunat, tawaf nazar, tawaf wada' (tawaf selamat tinggal), tawaf tahiyatul al-bait dan tawaf tahallul. Kesemua kelakuan atau perbuatan tawaf adalah sama cuma yang membezakan jenis tawaf adalah dari segi niat sahaja. Jadi, apa yang dimaksudkan di sini adalah tawaf rukun haji.

4. Sa'ie

Apa yang dimaksudkan dengan sa'ie ialah berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah menurut syarat-syaratnya:-

- Hendaklah dilakukan selepas melaksanakan Tawaf Qudum (bagi mereka yang masuk Mekah untuk  melakukan Haji Qiran dan Ifrad) atau selepas tawaf haji. Bagi mereka yang masuk Mekah dengan niat  ihram umrah, Tawaf Qudum terjadi dengan serentak bersama tawaf rukun umrah.

- Mesti bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Jangan mula di tengah-tengah antara Safa dan Marwah

- Cukup tujuh (7) ulang-alik dengan yakin bermula di Bukit Safa ke Bukit Marwah dikira satu kali dan di Bukit Marwah ke Bukit Safa dikira sekali.

- Hendaklah sampai ke penghujung tempat sa'ie di kaki Bukit Marwah dan kaki Bukit Safa pada setiap pusingan (untuk mengetahui di mana kaki Bukit Safa dan Marwah pada masa sekarang ini, jemaah haji perlu lihat berakhirnya pagar untuk kerusi roda).

- Hendaklah dilakukan di tempat yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

-  Mengekalkan niat sa'ie kerana Allah SWT

- Selain itu, terdapat amalan sunat sa'ie seperti baca doa, memasuki tempat sa'ie melalui Pintu Bukit Safa dan lain-lainnya (rujuk Buku Panduan Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah TH).

5. Bercukur atau Bergunting

Apa yang dikehendaki di sini ialah menanggalkan rambut di kepala sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Jika tiada rambut di kepala, boleh hanya melalukan pisau cukur di kepala sebagai menandakan kita telah bercukur/ bergunting. Waktu bagi jemaah haji boleh bercukur atau bergunting ialah selepas waktu separuh malam 10 Zulhijjah.

6. Tertib pada kebanyakan rukun

Rukun yang keenam ini dimaksudkan rukun-rukun haji hendaklah dilakukan mengikut tertib pada kebanyakan rukun iaitu didahulukan niat ihram haji dari rukun-rukun yang lain. Didahulukan wukuf dari tawaf rukun dan didahulukan tawaf dari sa'ie. Tetapi sa'ie haji boleh dipilih untuk dikerjakan sebelum wukuf atau selepas wuquf dengan syarat mereka melakukan haji ifrad atau haji qiran dan dilakukan selepas tawaf qudum.

ARKIB : 13/09/2012
Oleh TENGKU AZIZ RAJA ABDULLAH


Amanah TH

IBADAT haji merupakan ibadat yang perlu dilaksanakan bagi setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa. Hampir 3.5 juta umat Islam seluruh dunia berkumpul setiap tahun untuk melaksanakan ibadat ini. Mereka datang daripada pelbagai pelosok dunia, bangsa dan budaya berhimpun pada satu waktu di Mekah al-Mukarramah. Kepelbagaian budaya dan adat resam inilah menuntut keimanan yang tinggi, kesabaran yang jitu dan sifat pengorbanan serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain lahir daripada ketakwaan seseorang Muslim itu.

   Justeru, bakal-bakal haji perlulah membuat persediaan, sama ada dari segi ilmu, rohani, jasmani dan spiritual. Bakal haji perlulah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu ibadat haji dan umrah melalui kursus dan bahan penerbitan Tabung Haji, memahami proses-proses urusan haji di Tanah Suci dan menyediakan keperluan sama ada dari segi pakaian, peralatan dan memperoleh maklumat berhubung keadaan di Mekah dan Madinah agar dapat melakukan ibadat haji dalam keadaan tenang dan mengharapkan keredaan Allah SWT.

   Apabila bakal-bakal haji menjejakkan kaki di sana, mereka perlulah mengikut arahan yang diberikan oleh petugas-petugas haji bagi memudahkan pergerakan mereka. Bergeraklah dalam satu kumpulan serta sentiasa memakai gelang dan lencana pengenalan haji sebagai pengenalan diri jika ada berlaku kesulitan seperti tersasar, sakit dan lain-lain. Bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada jemaah haji dari segi pengetahuan haji, Tabung Haji telah menyediakan e-book Tabung Haji iaitu salah satu medium tambahan bimbingan ibadat haji yang boleh diperoleh menggunakan tablet atau telefon mudah alih.

   Sebanyak empat buah buku versi e-book telahpun dimuatnaik iaitu Buku Panduan Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah; Buku Soal Jawab Ibadat Haji dan Umrah; Buku Himpunan Doa-Doa Terpilih di Tanah Suci serta Risalah Wanita (Panduan Untuk Bakal-bakal Haji)Bagi pengguna Apple mereka boleh mendapatkan e-book Tabung Haji di Appstore dan bagi pengguna android boleh memperolehnya di Google play (Playstore) dengan menaip (search) e-book Tabung Haji dengan harga USD1.99.

   Selain itu, TH telah menyediakan satu Talian Ibadat di Tanah Suci atau ringkasnya TAIB dengan talian 02-5706161. Talian ini memberi kemudahan kepada bakal-bakal haji untuk membuat pertanyaan mengenai hukum-hakam ibadat haji dan umrah melalui talian telefon.
Selain itu, TH turut menyediakan Pusat Bantuan Tanah Suci. Bakal haji boleh memohon bantuan jika menghadapi kesulitan dengan menelefon Pusat Bantuan Tanah Suci di talian 02-5704433.
Sepanjang berada di Tanah Suci, jemaah haji hendaklah sentiasa menjaga akhlak dan nama baik negara kerana jemaah dari Malaysia sangat dipandang tinggi oleh kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah haji contoh. Mereka hendaklah sentiasa mengikut peraturan dan nasihat daripada Tabung Haji serta mengelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan nama baik negara seperti demonstrasi dan melanggar peraturan kerajaan Arab Saudi.

   Semasa operasi di Arafah, Muzdalifah dan Mina, jemaah haji hendaklah sentiasa bersabar, bertolak ansur dan tolong-menolong sesama jemaah haji. Ilmu kendiri dan pengurusan diri amatlah berguna semasa di Masya'ir. Ini kerana pergerakan hampir 3.5 juta manusia pada masa yang sama dan menuju ke destinasi yang sama tentunya akan menyebabkan berlaku kesesakan di jalan raya dan masalah-masalah lain. Jemaah perlu berdoa agar perjalanan hajinya dapat dilakukan dengan sempurna dan dipermudahkan.

   Di samping itu, kemudahan yang terhad di Mina memerlukan kesabaran dan pengurusan kendiri yang baik. Selain itu, semasa aktiviti melontar, jemaah haji hendaklah keluar melontar mengikut jadual yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji. Bergeraklah dalam kumpulan dan mengikut panduan daripada pengurus-pengurus maktab agar ia dapat berjalan dengan baik.
Jika bakal haji ada keraguan tentang ibadat haji dan umrah pula, rujuklah pada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) supaya segala ibadat haji dapat dilaksanakan dengan betul dan sempurna sebelum kembali ke tanah air. Bagi mereka yang ingin menghantar barang mereka ke tanah air selain bersama dengannya dalam kapal terbang, jemaah haji boleh menggunakan kemudahan khidmat bagasi yang disediakan oleh syarikat yang dilantik oleh Tabung Haji.

   Akhir kata, bakal haji perlulah bersiap sedia dengan maklumat perjalanan, barang-barang keperluan dan buku-buku panduan sebagai persediaan menghadapi perjalanan haji ini. Ingatlah perjalanan ini adalah perjalanan ibadat bukan perjalanan lawatan pelancongan. Satu perjalanan menuju Ilahi.
Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menunaikan haji. Semasa kembalinya tuan-tuan dan puan-puan nanti ke tanah air seolah-olah kembalinya itu seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya, suci bersih dan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah.


Oleh SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN
DATUK Syed Saleh Syed Abdul Rahman ialah Pengurus Besar Kanan (Haji)

ARKIB : 21/09/2012