Tuesday, December 27, 2011

Telaga Zamzam



Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Telaga Zamzam (atau Zamzam Well, atau Zamzam; B. Arab: زمزم) ialah telaga biasa yang terletak di dalam Masjidil Haram di Makkah, hampir dengan Kaabah, tempat paling suci dalam Islam.

Telaga zam-zam merupakan satu-satunya sumber air bersih dari bawah tanah di Mekah satu ketika dahulu. Umat Islam sangat mengambil berat tentang air zamzam ini untuk air wuduk dan perubatan.

Sejarah

Umat Islam percaya telaga zam-zam ditemui oleh Siti Hajar isteri kedua Nabi Ibrahim a.s dan ibu kepada anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail.Siti Hajar dan anak kecilnya Nabi Ismail kehausan di kawasan gurun kering kontang . Lantaran itu Siti Hajar berlari anak 7 kali antara bukit Safa dan Marwa untuk mendapatkan air untuk anak kecilnya itu. Allah menghantar malaikat Jibrail untuk mengeluarkan air suci dari tengah-tengah padang pasir itu. Lokasinya ialah tempat Nabi Ismail menghentak-hentak kaki dan menangis. Siti Hajar mengepong kawasan mata air itu dengan batu-batu dan memanggil zamzam yang bermaksud 'kepung air'. Ketika itu Mekah belum ada penduduk.

Datuk Nabi Muhamad s.a.w bernama Abdul Muttalib telah menjaga, mengurus dan menjaga keselamatan satu-satunya sumber air di kota Mekah zaman pra Islam.

Perkataan "zamzam" dipercayai berasal daripada ungkapan "zomk-zomk" bermakna "berhenti mengalir" - yang diluahkan oleh Siti Hajar dalam percubaannya menakung air yang berhamburan keluar.

Menurut hadis, Abu Tharr Al-Ghifari, sahabat Nabi Muhammad S.A.W, berkata semasa beliau mula-mula tiba di Mekah pada zaman permulaan Islam, beliau hidup dengan meminum air zamzam selama sebulan.

Maklumat fizikal

Telaga zamzam dalamnya 30 meter sahaja dan kedalaman air hanya 3.32 meter. Dapat bayangkan. Ada beberapa punca mata air di bawah 13 meter.

Ujian mengeluarkan air pada kelajuan 8000 liter/second selama tempoh 24 jam menunjukkan paras air surut dari para 3.23 meter kepada 12.72 meter dan kemudian 13.39 meter selepas itu. Paras air kembali normal ke paras 3.9 meter selepas 11 minit.

Air zamzam kini

Semasa ibadah umrah dan haji, para jemaah telah meniru larian Siti Hajar dari Safa ke Marwa sebanyak 7 kali yang dikenali ebagai ibadah Sae'i. Air zamzam dapat mengubat penyakit mental. Jenazah yang meninggal dunia dimandikan dengan air zamzam. Jabatan Geologi Arab Saudi telah membuat kajian tentang cara pengurusan air zamzam dan menambah jumlah air bagi menampung keperluan jemaah semasa menunaikan haji, membawa balik untuk saudara-mara dan pelbagai tujuan lain. Kajian menunjukkan air zamzam mengandungi pelbagai mineral seperti kalsium, magnesium dan fluorida.

Air zamzam dijual

Air zamzam dijual dalam botol

Kerajaan Arab Saudi yang menjaga bumi Hijaz and Mekah melarang air zam daripada dieksport. Air zamzam hanya boleh dibotolkan dan boleh didapati di kebanyakan negara kini. Air zamzam yang dibotolkan ini tidak lagi 100 % tulen, telah dicampurkan dengan air sumber lain atau mungkin telah tercemar.Ada yang mengambil kesempatan dengan menjual pada harga yang tidak munsabah.

Pengurusan air zamzam

Air zamzam asli tidak boleh dieksport secara sah dari Arab Saudi untuk dijual secara komersial. Oleh itu jemaah mengisi botol dan bekas air mereka untuk dibawa pulang serta diagihkan kepada sanak saudara. Setiap jemaah dihadkan membawa lima gelen (kira-kira 20 liter).

Tempat mengambil air zamzam berhampiran Masjidil Haram mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama dilengkapi 14 pili yang boleh digunakan secara percuma oleh orang ramai manakala yang kedua pula dipasang pili tiga kali ganda daripada jumlah itu dan dikendalikan oleh syarikat swasta berlesen yang mengenakan sedikit bayaran untuk mengisi botol dan tong air jemaah.

Biasanya syarikat ini mengenakan bayaran hanya SR10 untuk botol 10 liter untuk keselesaan jemaah dari berebut-rebut. Kaedah ini lebih baik dan jarang yang berani menipu.

Namun akhbar Arab News melaporkan ahli "zamzam mafia" yang terdiri dari orang Mynamar, Bangladesh dan Afrika beratur di pili awam sejak awal pagi. Mereka lengkap dengan tong dan ambil masa lama. Sedangkan jemaah lain menyediakan tong kecil sahaja. Mereka tidak rasa bersalah melakukannya dan merupakan rezeki halal bulan Ramadan.

Ada yang merungut kerana air zamzam yang dibeli tidak tulen atau telah dicampur dengan air lain.

Walaubagaimanapun sudah terdapat syarikat yang membantu membekalkan Air Zam Zam yang di bawa terus dari Mekah kepada pengguna yang berhajat.

Di antara nama bagi Zamzam ialah sebagaimana berikut:

Zummizmu Hazmatu Jibril Siidah Zammamu
Barakah Suqya Ismail Madnunah Syia'ah
Mubarakah Ghuslu Qalbi Muhammad Safiah Maktumah
Kaafiah Ta'aamu Tu'mu Barratu Asy-Syuba'atu
Aafiah Syifau Suqmi Marwiyyah Syuba'atul Iyal
Mughazziah Syarabul Abrar Aunah Tuktamu
Tahirah Qaryatul Naml Busyra Hazmatu Ismail
Hurmah Nuqratul Ghurabil A'sam Ismah Hazmatul Bi'ri
Mu'nah La Tutrifu wala Tuzammu Tayyibah Abyar
Nafi'ah Hafirah Abdul Muttalib Hirfah Hazmatu Jibril

Batu Marmar & Pembinaan Hijir Nabi Ismail a.s

1. Orang pertama yang meletakkan batu marmar di atas batu-bata Hijir Ismail ialah Khalifah Al-Abbas Abu Jaafar Al-Mansur pada tahun 140 H.
2. Kemudian ia diperbaharui oleh Khalifah Al-Mahdi pada tahun 161 H.
3. Pada tahun 241 H ia diperbaharui pula oleh Khalifah Al-Mutawakkil Alallah.
4. Pada tahun 283 H ia dibina oleh Al-Mu'tadid Al-Abbas pada masa pemerintahannya. Kemudian ia dibina pula oleh seorang menteri bernama Jamaluddin yang dikenali dengan pemurah, pada tahun 550 H.
5. Pada tahun 576 H ia dibina oleh Nasir Al-Abbasi.
6. Tahun 720 H ia dibina oleh Nasir Qallawun.
7. Pada tahun 781 H ia dibina oleh Al-Mansur Ali bin Al-Malik Al-Asyraf Sya'ban bin Husin bin Al-Malik An-Nasir Muhammad bin Qallawun.
8. Kemudian ia dibina pula oleh Al-Amir Bisaq.
9. Pada bulan Rejab tahun 822 H ia dibina oleh panglima Alauddin.
10. Tahun 826 H ia dibina oleh Al-Amir Zainuddin Muqbil Al-Qadidi.
11. Pada tahun 838 H ia dibina oleh Sudun Al-Muhammadi dengan marmar yang dibawa dari Mesir.

Hijir Ismail

1. Semasa Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah, ketinggiannya adalah 9 hasta sahaja iaitu satu pertiga daripada ketinggian Kaabah pada hari ini. Beliau membina Kaabah tersebut di atas tapaknya. Pada hari ini tapak tersebut berada enam hasta ke dalam Hijir Nabi Ismail a.s. Mengikut binaan Nabi Ibrahim a.s, Kaabah berada di kawasan Hijir. Anda boleh membezakan ketebalan antara Hijir lama dan Hijir yang ada sekarang dengan mudah iaitu sebahagian besar dinding Hijir yang lurus serta yang menghala ke arah utara Kaabah, ia merupakan sebahagian dari Kaabah.

2. Semasa orang-orang Quraisy membina Kaabah, mereka memasukkan binaan dinding Kaabah di sebelah utara ke sebelah selatan sebanyak enam hasta (mengecilkan binaan Kaabah) untuk meluaskan kawasan Hijir.

3.Semasa Abdullah bin Az-Zubair membina Kaabah, beliau membinanya semula sebagaimana bentuk dan saiz (diatas tapak) yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s dan mengecilkan sedikit kawasan Hijir (kerana ingin meluaskan Kaabah).

4. Al-Hajjaj bin Yusuf mengubah kembali kedudukan Hijir kepada kedudukannya sebagaimana sekarang ini.

Pintu Kaabah

1. Binaan Nabi Ibrahim a.s: Sebuah pintu dirapatkan pada tanah.

2. Binaan orang-orang Quraisy: Orang-orang Quraisy meninggikan pintu Kaabah mengikut pandangan Abu Huzaifah bin Al-Mughirah.

3. Binaan Ibnu Az-Zubair: Pintu dirapatkan pada tanah kemudian membina sebuah pintu lain di sebelah barat yang berada di antara penjuru Syam dan penjuru Yaman.

4. Binaan Al-Hajjaj: Pintu ditinggikan kembali sebagaimana yang asal dan menutup pintu di sebelah barat.

5. Pintu yang ada sekarang: Ia diperbuat dari emas tulin, dibina oleh Jalalah Al-Malik Khalid bin Abdul Aziz.

Maqam Nabi Ibrahim

1. Ia merupakan batu tempat al-Khalil Nabi Ibrahim a.s berdiri ketika meninggikan binaan Kaabah dari kedudukannya. Batu ini diletakkan oleh Nabi Ismail a.s untuk meninggikan beliau.

2. Sebagaimana yang kita maklumi, ketinggian Kaabah hanya mencapai sembilan hasta sahaja ketika al-Khalil Nabi Ibrahim a.s membinanya. Kemudian orang-orang Quraisy menambah ketinggian Kaabah sehingga menjadi 18 hasta ketika mereka membinanya. Kemudian Abdullah bin Az-Zubair pula menambah ketinggiannya sehingga 27 hasta dan kekal dengan ketinggian tersebut.

3. Batu tersebut kekal berdekatan dinding Kaabah semenjak dahulu hinggalah ke masa pemerintahan Umar bin al-Khattab r.a di mana selepas itu ia dijauhkan dari Baitullah agar tidak mengganggu orang yang mengerjakan sembahyang di sekitar Maqam dan orang ramai yang mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah.

4. Kesan dua tapak kaki Nabi Ibrahim a.s pada batu tersebut masih lagi kekal dan berterusan. Abu Talib telah berkata di dalam qasidahnya yang masyhur iaitu: Yang bermaksud: Tempat berpijak Nabi Ibrahim a.s menjadi lembut beliau berdiri di atas kedua kakinya tanpa memakai alas kaki. Iaitu: Sesungguhnya kakinya yang mulia itu tenggelam pada batu, oleh itu tertinggallah kesan tersebut sekadar tapak kakinya.

Peluasan Hajarulaswad

1. Orang pertama yang meletakkan kedudukan Hajarulaswad di tempatnya ialah Nabi Ibrahim a.s. Ia merupakan salah satu daripada permata delima dari Syurga.

2. Apabila Bani Bakar bin Abdu Manat bin Kinanah dan Ghaisyan bin Khuza'ah yang mana kedua-duanya dari Bani Jurhum keluar dari Mekah, Amru bin Al-Haris bin Madad Al-Jurhumi mengeluarkan dua ekor patung kijang yang diperbuat daripada emas dan juga Hajarulaswad lalu menimbusnya di telaga Zamzam. Selepas itu beliau dan sebahagian dari golongan Jurhum yang bersamanya pergi ke Yaman.

3. Penimbusan Hajarulaswad di telaga Zamzam berlaku tidak begitu lama. Seorang wanita dari Bani Khuza'ah telah menunjukkan tempat Hajarulaswad ditimbus kerana beliau melihat Bani Jurhum menimbusnya. Mereka telah mengembalikan Hajarulaswad ke tempatnya. Peristiwa itu berlaku sebelum Qusai bin Kilab mendirikan Kaabah.

4. Setelah orang-orang Qaramitah berjaya menguasai Mekah (di bawah pimpinan Abu Tahir Al-Qarmuti), mereka telah membunuh seramai 1,700 jiwa manusia di Masjidil Haram. Mereka di bunuh ketika bergantungan di Kaabah untuk menghalang orang-orang Qaramitah dari mengambil Hajarulaswad. Mayat mereka dicampakkan ke dalam telaga Zamzam sehingga penuh. Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya dipenuhi dengan mayat-mayat yang bergelimpangan. Orang-orang Qaramitah merampas harta benda orang ramai, hiasan-hiasan Kaabah, mencabut kelambu Kaabah dan membahagikannya di kalangan mereka. Mereka juga memusnahkan rumah-rumah di sekitar Mekah, mencabut pintu Kaabah dan saluran hujan yang diperbuat dari emas. Abu Tahir Al-Qarmuti telah memerintahkan Jaafar bin Ilaj mencabut Hajarulaswad. Hajarulaswad dicabut dari tempatnya pada 7 Zulhijah, tahun 317 selepas berlaku perbuatan dosa-dosa besar yang amat dikeji iaitu membunuh orang-orang yang sedang tawaf, beriktikaf dan yang mendirikan sembahyang. Setelah itu mereka membawa Hajarulaswad ke Hajar (Negeri mereka) dan tempatnya di Kaabah hanya tinggal kosong. Orang ramai masih meletakkan tangan mereka di tempat tersebut untuk mendapatkan keberkatan sehinggalah ia dikembalikan ke tempat asalnya pada hari selasa iaitu Hari Raya Korban, tahun 339. Dengan pengembalian tersebut, bermakna Hajarul Aswad hilang dari mereka lebih kurang dua puluh dua tahun. Orang yang mengembalikannya ialah Sinbar bin Hasan Al-Qarmuti.

5. Pada tahun 363, seorang lelaki dari negeri Rom datang ke Mekah lalu menghina dan memukul Hajarulaswad dengan sebilah cangkul di bahagian penjuru (Hajarulaswad) dengan pukulan yang kuat sehingga pecah. Beliau mengangkat tangannya sekali lagi untuk memukul tetapi telah ditikam oleh seorang lelaki Yaman dan berjaya mengalahkannya.

6. Pada tahun 413 Kerajaan Fatimiah menghantar sebahagian daripada pengikutnya dari Mesir yang telah dihasut oleh Hakim Al-Ubaidi. Di antara mereka terdapat seorang lelaki yang memiliki kulit berwarna merah, berambut perang, mempunyai badan yang perkasa dan tinggi lampai. Sebelah tangannya memegang sebilah pedang yang terhunus dan membawa "Dabus" (Sejenis alat seperti besi penuas). Beliau memukul permukaan Hajarulaswad tiga kali menyebabkan serpihannya berguguran jatuh. Beliau berkata: "Sampai bilakah Hajarulaswad ini akan disembah. Tiada siapa dapat menghalang aku dari melakukannya walaupun Muhammad dan Ali. Hari ini aku ingin meruntuhkan Kaabah." Tetapi sepasukan tentera berkuda telah mengepung beliau dan berjaya membunuh serta membakar beliau berserta pembantu-pembantunya.

7. Pada tahun 990 pula, seorang lelaki asing telah datang dengan membawa sebatang besi lalu memukul Hajarulaswad. Lantas Al-Amir Nasir menetak beliau dengan sebilah pedang lalu mati.

8. Pada akhir bulan Muharam tahun 1351, seorang lelaki dari negara Afghanistan datang ke Kaabah lalu mencabut dan mencuri sedikit Hajarul Aswad, secebis kelambu Kaabah serta seketul perak dari tangga Kaabah. Perbuatan lelaki tersebut diketahui oleh penjaga-penjaga Kaabah. Mereka berjaya menangkapnya dan kemudian dihukum gantung sebagai balasan terhadap perbuatannya. Pada 28 Rabiulakhir tahun 1351 Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman Al-Faisal, keluarga As-Saud dari Taif datang ke Masjidil Haram bertujuan untuk melekatkan kembali serpihan yang dicabut oleh tentera durjana. Usaha melekatkan serpihan itu dilakukan selepas dijalankan ujikaji adunan bahan kimia yang dicampur dengan kasturi dan ambar oleh mereka yang didatangkan khas untuk melekatkan serpihan Hajarulaswad.

Sejarah Pembinaan

Pembinaan Telaga Zamzam:

Orang pertama menggunakan kain yang mempunyai lebihan labuh di belakang dari kalangan wanita ialah ibu Nabi Ismail a.s yang digunakan untuk menyembunyikan kesan kakinya daripada Siti Sarah. Nabi Ibrahim a.s membawa ibu Nabi Ismail (Siti Hajar) serta anaknya Nabi Ismail a.s yang masih lagi menyusu dan kemudian meninggalkannya berhampiran Kaabah di sebatang pokok yang besar di atas Zamzam. Ketika itu Kota Mekah masih belum berpenghuni serta tidak mempunyai air. Nabi Ibrahim a.s meninggalkan mereka berdua di sana. Diletakkan di sisi mereka berdua sebungkus buah tamar dan sebekas air. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertolak pulang, lalu baginda diikuti oleh ibu Nabi Ismail a.s lalu bertanya: "Wahai Ibrahim! Ke manakah kamu hendak pergi dan meninggalkan kami di lembah yang tidak mempunyai seorang manusia dan apa-apa pun ini?" Siti Hajar bertanya mengenai perkara itu berkali-kali, tetapi baginda tidak menghiraukannya. Siti Hajar bertanya lagi: "Adakah Allah s.w.t. memerintah kamu berbuat begini?" Baginda menjawab: "Memang benar." Isterinya berkata: "Kalau begitu tiada halangan bagi kami." Kemudian ibu Nabi Ismail kembali semula ke tempatnya, lalu Nabi Ibrahim a.s bertolak pergi sehingga baginda tidak kelihatan lagi. Setelah itu Nabi Ibrahim a.s menghadapkan mukanya ke arah kiblat (Kaabah sekarang ini) kemudian terus mengangkat tangan sambil berdoa:

Yang bermaksud: (Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ditumbuhi tanaman, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur).



Sepeninggalan Nabi Ibrahim a.s, ibu Nabi Ismail a.s menyusukan anaknya dan memberi minum air yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s di dalam bekas. Apabila air di dalam bekas itu habis, anaknya terus kehausan. Oleh kerana tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang kehausan, Siti Hajar terus menuju ke bukit Safa yang paling hampir dengan tempat beliau duduki. Beliau berdiri di atas bukit itu dan berpaling ke lembah untuk melihat kalau-kalau ada seseorang. Siti Hajar tidak melihat walau seseorang pun ada di sana, lalu beliau turun semula dari bukit Safa sehingga menghampiri perlembahan tersebut. Kemudian beliau menuju ke bukit Marwah dan berdiri di atasnya untuk melihat kalau-kalau ada seseorang di sana. Tetapi beliau tidak juga mendapatinya. Beliau melakukan keadaan sedemikian sebanyak tujuh kali.



Ketika berada di atas bukit Marwah, Siti Hajar telah mendengar suatu suara membisikkan kepadanya: "Diamlah." Siti Hajar cuba memerhatikan suara tersebut. Suara itu masih tetap kedengaran, lalu suara tersebut berkata: "Sesungguhnya aku telah mendengar bahawa di sisimu ada pertolongan." Tiba-tiba dia mendapati malaikat menunjukkan tempat Zamzam, lalu beliau terus menggalinya dengan tumit, ada yang mengatakan beliau menggali dengan menggunakan kedua tangannya sehingga keluar air. Kemudian beliau membatasinya dan beliau berkata dengan tangannya begini untuk memenuhkan bekasnya dengan air tersebut, setelah bekasnya dipenuhi dengan air beliau terus berlalu untuk meminum dan menyusu anaknya, lalu malaikat berkata kepadanya: "Janganlah kamu takut kepada kesusahan, sesungguhnya di sana akan dibina sebuah rumah Allah s.w.t. (Baitullah) yang akan dibina oleh kanak-kanak ini dan ayahnya, sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menyusahkan keluarganya." Setelah itu beliau bertemu dengan satu rombongan dari Jurhum lalu mereka turun dan menuju ke kawasan yang paling rendah di Mekah, mereka melihat burung-burung berterbangan dan berkata, sesungguhnya burung-burung ini berterbangan mengelilingi air, kami percaya bahawa di lembah (wadi) ini terdapat air, mereka mengutus seorang atau dua orang untuk melihatnya dan utusan tersebut mendapati di sana terdapat air lalu kembali dan memberitahu kepada rombongan mereka. Lalu mereka meminta kebenaran dari ibu Ismail untuk pergi mendapatkan air tersebut, ibu Nabi Ismail membenarkannya dengan berkata: "Ya, tetapi jangan kamu jadikan air itu sebagai hak kamu." Mereka menjawab: "Ya."

Menggali Semula Zamzam:

Ketika Abdul Mutalib sedang tidur di Hijir, datang seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: "Galilah "Barrah"" (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: "Apakah Barrah?" Sehingga keesokan harinya pula, beliau tidur di tempat yang sama. Lalu datang lagi seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: "Galilah "Madnunah" (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: "Apakah Madhnunah?" Kemudian beliau pun beredar dari situ sehinggalah keesokan harinya, beliau kembali tidur di tempat yang sama. Lalu datang lagi seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: "Galilah "Tayyibah" (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: "Apakah Tayyibah?" Pada hari yang keempat, beliau bermimpi lagi dan telah dikatakan kepada beliau: "Galilah Zamzam." Beliau menjawab: "Apakah Zamzam?" Beliau berkata: "Janganlah kamu menimba air itu dan membatasnya." Kemudian beliau ditunjukkan tempatnya. Setelah itu baginda menggalinya sebagaimana yang telah ditunjukkan kepadanya. Orang-orang Quraisy bertanya kepada beliau: "Apakah ini semua wahai Abdul Mutalib?" Beliau menjawab: "Aku diperintahkan supaya menggali telaga Zamzam." Ketika dijumpai Zamzam dan melihat patung kijang. Orang-orang Quraisy terus mempercayainya. Abdul Mutalib terus menggalinya. Beliau menemui dua ekor patung kijang yang diperbuat dari emas. Kedua-duanya adalah patung kijang yang di tanam oleh Bani Jurhum ketika mereka keluar dari Mekah. Tempat tersebut merupakan telaga Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim a.s. Setelah Abdul Mutalib menggali telaga Zamzam dan setelah Allah s.w.t. tunjukkan tempat serta memilih beliau untuk menggali Zamzam, Allah s.w.t telah menambahkan kemuliaan beliau dengan sebab Zamzam tersebut dan kaumnya juga dapat menikmatinya.

Binaan Nabi Ibrahim:

Binaan Nabi Ibrahim a.s merupakan satu-satunya binaan yang disebut di dalam al-Quran

Meninggikan Asas (Tapak):

1. Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s telah pergi ke Mekah untuk menunaikan perintah Allah s.w.t supaya membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail a.s: Sesungguhnya Allah s.w.t telah memerintahkan aku dengan satu perkara, lalu Ismail a.s berkata: Lakukanlah apa yang telah diperintahkan Allah s.w.t kepada kamu. Nabi Ibrahim a.s bertanya: "Adakah kamu akan menolongku?" Nabi Ismail a.s menjawab: "Aku akan menolongmu." Lalu beliau berkata: "Sesungguhnya Allah s.w.t memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di sana." sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya. Mereka berdua mendirikan tapak asas Baitullah di kawasan tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s membinanya. Apabila binaan tersebut telah tinggi, Nabi Ismail a.s membawakan hajar ini dan meletakkannya di samping Nabi Ibrahim a.s. Beliau berdiri di atas hajar tersebut semasa meneruskan pembinaan manakala Nabi Ismail a.s menghulurkan ketulan batu, di samping itu mereka berdoa sebagaimana firman Allah s.w.t:

Yang bermaksud: (Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami) sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa mereka) dari (syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana).


Sehinggalah Allah s.w.t menyempurnakan pembinaan Baitullah (Kaabah) tersebut kepada mereka berdua.

2. Tidak terdapat riwayat sahih yang menyatakan Baitullah telahpun dibina sebelum Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s. Sesiapa yang berpegang kepada firman Allah s.w.t : Yang bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Baitullah (untuk membinanya),

ataupun Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu,

Maksud yang dikehendaki pada ayat-ayat tersebut ialah tempat pembinaan Kaabah tersebut telahpun tetap dalam pengetahuan Allah s.w.t semenjak menciptakan langit dan bumi. Ini menunjukkan tempat pembinaan Kaabah itu telahpun dimaklumi, manakala pembinaan Baitullah pula telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim Al-Khalil dan anaknya Nabi Ismail a.s. Khabar-khabar yang menyatakan Baitullah telah dibina sebelum Nabi Ibrahim a.s adalah diriwayatkan daripada Bani Israel, kita tidak boleh membenarkannya dan mendustakannya, hanya Allah s.w.t sahaja Yang Maha Mengetahui.

3. Ketika Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah tersebut beliau menjadikan:

* Tingginya sembilan hasta.

* Panjang di paras bumi dari Hajarulaswad hingga ke penjuru sebelah Syam 32 hasta.

* Lebar di sebelah bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat 22 hasta.

* Panjang di paras bumi bermula dari penjuru sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman 31 hasta.

* Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarulaswad 20 hasta.

Beliau membina pintu rapat ke bumi, tidak ditinggikan atau dibuat pintu secara sempurna sehinggalah Tubba' Al-Himyari telah membina sebuah pintu dan meninggikannya. Bentuk binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s adalah binaan yang sempurna, mempunyai dua penjuru iaitu dua penjuru Yamani manakala bentuk Hijir pula, beliau tidak membinanya dalam bentuk berpenjuru bahkan dalam bentuk separuh bulat sebagaimana bentuk Hijir yang terdapat pada masa sekarang ini. Ada pendapat yang mengatakan umur Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah tersebut ialah 100 tahun, hanya Allah s.w.t sahaja Yang Amat Mengetahui.

Binaan Malaikat:

Allah s.w.t
berfirman kepada Malaikat: Yang bermaksud: Sesungguhnya Aku ingin menjadikan seorang khalifah di muka bumi.

Malaikat bertanya: (Wahai Tuhan kami,) Adakah Engkau ingin menjadikan khalifah selain daripada kami yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, dengki mendengki dan benci membenci? Padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu. Mentaati Engkau dan tidak memaksiati Engkau. Allah s.w.t berfirman: Yang bermaksud: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya. Malaikat menyangka Tuhan mereka menolak pertanyaan tersebut. Sesungguhnya Allah s.w.t membenci mereka disebabkan kata-kata mereka. Mereka berlindung di bawah Arasy dengan mengangkat kepala dan mengisyaratkan dengan jari memohon sesuatu serta menangis kerana takutkan kebencianNya. Mereka Tawaf mengelilingi Arasy sangat lama. Allah s.w.t memandang mereka kemudian menurunkan rahmat kepada mereka. Allah s.w.t membina sebuah rumah di bawah Arasy yang diberi nama Baitulma'mur. Allah s.w.t memerintahkan para Malaikat supaya tawaf di Baitulma'mur dan tinggalkan Arasy. Para Malaikat telah melakukan tawaf di Baitulma'mur sehingga jumlah yang memasukinya siang dan malam seramai tujuh puluh ribu malaikat. Mereka tidak kembali lagi buat selama-lama. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan para Malaikat turun ke bumi dan berfirman kepada mereka: "Binalah sebuah rumah untukKu di bumi sepertinya." Allah s.w.t memerintah seluruh makhlukNya di bumi supaya tawaf mengelilingi Baitullah sebagaimana penghuni langit tawaf mengelilingi Baitulma'mur. Binaan Nabi Adam a.s:

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Allah s.w.t telah mengutuskan Jibril kepada Nabi Adam a.s serta Hawa membawa firman kepada keduanya: "Binalah untukKu sebuah rumah." Jibril telah menggariskan (rangka) kepada keduanya lalu Nabi Adam a.s menggali tanah manakala Hawa mengangkutnya sehinggalah air menyahut serta menyeru dari bawah beliau meminta agar berhenti menggali dengan kata-kata: "Cukuplah wahai Adam!" Setelah selesai membinanya, Allah s.w.t mewahyukan kepada beliau supaya tawaf mengelilinginya dan dikatakan kepada beliau: "Engkau adalah manusia pertama." Inilah rumah pertama yang dibina sehinggalah setelah beberapa kurun, Nabi Ibrahim a.s telah meninggikan tapak Kaabah tersebut. Orang pertama yang mengasaskan Kaabah kemudian menunaikan sembahyang serta tawaf mengelilinginya ialah Nabi Adam a.s.

Binaan Syith:

Setelah Nabi Adam a.s wafat, anak-anaknya telah membina Kaabah dengan menggunakan tanah dan batu. Diriwayatkan bahawa orang yang membinanya ialah Syith a.s. Mereka sentiasa mendiami dan memakmurkan Baitullah dan begitulah juga dengan orang-orang yang selepas mereka sehinggalah tiba zaman Nabi Nuh a.s. Kawasan tersebut ditenggelami air dan tidak dapat dikesani. Mengikut sesetengah israiliat (tokok tambah) sebagaimana yang diriwayatkan oleh Wahab bin Munabbih bahawa Nabi Adam a.s telah membina khemah pada Kaabah. Apabila beliau wafat, khemah tersebut telah diangkat oleh Allah s.w.t. Anak-anaknyalah yang membuat pembinaan pertama terhadap Kaabah.

* Ketiga-tiga pendapat yang lepas iaitu binaan para Malaikat, binaan Nabi Adam a.s atau binaan Syith a.s tidak mempunyai dalil yang jelas. Kami dapati ketiga-tiga pendapat tersebut terbukti kedhaifannya. Para ulama telah bersepakat bahawa orang pertama yang membina Kaabah ialah Nabi Ibrahim a.s.

Binaan Al-Umaliqah:

Kaabah telah runtuh setelah beberapa tahun Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s membinanya, lalu ia dibina semula oleh Kabilah Al-Umaliqah.

* Tidak terdapat huraian secara terperinci dalam kebanyakan sumber-sumber rujukan tentang pembinaan ini.

Binaan Jurhum:

Setelah beberapa tahun selepas Al-Umaliqah siap membinanya, Kaabah telah dilimpahi air banjir dari sebelah atas Kota Mekah menyebabkan dindingnya pecah tetapi masih belum runtuh. Jurhum telah memperbaiki segala kerosakan tersebut dan membina benteng untuk menghalang banjir daripada memasuki Kaabah. Di dalam riwayat yang lain, Kaabah telah runtuh akibat banjir tersebut. Jurhum membinanya semula di atas tapak binaan Nabi Ibrahim a.s serta membina sebuah pintu yang mempunyai dua daun dan satu pengunci.

Binaan Qusai bin Kilab:

Orang pertama yang memperbaharui binaan Kaabah daripada golongan Quraisy selepas Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s ialah Qusai bin Kilab. Beliau membina atap dengan menggunakan kayu Dum dan pelepah tamar. Al-A'sya membaca syair berikut dengan irama iaitu salah satu daripada irama syair Arab.

Maksudnya: Aku telah memakaikan pakaian pendita Syam kepada Kaabah yang telah dibina oleh Qusai datuknya dan Ibnu Jurhum.

Binaan Quraisy:

1. Ketika Rasulullah s.a.w telah cukup umur (baligh), dikatakan juga ketika umur baginda dua puluh lima tahun, seorang wanita telah melontar Kaabah. Bunga api yang keluar hasil dari lontaran tersebut terkena pada kelambu Kaabah lalu terbakar. Kebakaran tersebut telah menyebabkan kemusnahan pada Kaabah lalu orang-orang Quraisy membinanya semula. Apabila tiba waktu untuk meletakkan Hajarulaswad, mereka mula bertengkar dan berselisih pendapat tentang kabilah manakah patut mengangkatnya. Mereka berkata: "Kemarilah kamu semua! Kita akan melantik orang yang mula-mula datang kepada kita melalui pintu Bani Syaibah sebagai hakim." Setelah beberapa ketika menunggu, ternyata Rasulullah s.a.w adalah orang pertama masuk melalui pintu tersebut lalu mereka meminta baginda s.a.w. menjadi hakim. Baginda s.a.w. memerintahkan agar mereka membentangkan sehelai kain lalu baginda s.a.w. sendiri meletakkan Hajarulaswad tersebut di tengah-tengah bentangan kain serta memerintahkan agar setiap orang memegang hujung-hujung kain tersebut. Dikatakan juga: "Mereka mengemukakan ketua kabilah masing-masing agar memegang hujung kain tersebut lalu mengangkatnya." Kemudian sekali lagi Rasulullah s.a.w mengambil Hajarulaswad tersebut lalu meletak di tempatnya. Orang Quraisy mendirikan enam batang tiang di dalam Kaabah.

2. Orang-orang Quraisy meninggikan pintu Kaabah berdasarkan kepada cadangan Abu Huzaifah bin Al-Mughirah, sebagaimana katanya: "Wahai kaum! Tinggikan pintu Kaabah agar ia hanya boleh dimasuki dengan menggunakan tangga sahaja. Kaabah tidak boleh dimasuki melalui tangga tersebut kecuali seseorang yang kamu benarkan sahaja. Jika seseorang yang kamu benci datang, buanglah tangga tersebut agar mereka terjatuh. Semoga peristiwa itu menjadi pengajaran kepada sesiapa yang melihatnya." Berdasarkan kepada cadangan inilah orang-orang Quraisy terus melakukannya. Mereka juga menambahkan ketinggian Kaabah dari sembilan hasta kepada lapan belas hasta. Mereka memendekkannya sebanyak enam hasta di arah utara dari tapak asas binaan Nabi Ibrahim a.s kerana pembiayaan yang halal yang mereka miliki tidak mencukupi untuk mereka menyempurnakannya.

Binaan Abdullah Bin Az-Zubair:

1. Kebakaran Kaabah pada zaman pemerintahan Yazid bin Muawiyah merupakan kebakaran yang agak besar pernah berlaku. Abdullah bin Az-Zubair telah membiarkan keadaan Kaabah yang terbakar itu sehingga tiba musim Haji dimana ramai yang berkunjung untuk mengerjakan Haji. Apabila mereka semakin ramai, beliau berkata: "Wahai umat Islam! Tunjukkanlah kepadaku cara memperbaiki Kaabah, sama ada meruntuh, membinanya semula ataupun memperbaiki kerosakannya sahaja." Ibnu Abbas berkata: "Pada pendapatku kamu perbaiki kerosakannya sahaja. Biarkan binaan asal Baitullah dan batu-batu binaan asalnya kerana di situlah orang ramai memeluk Islam serta Rasulullah s.a.w diutuskan." Ibnu Az-Zubair berkata: "Sekiranya rumah salah seorang di antara kamu terbakar, tentu dia tidak redha sebelum memperbaharuinya. Bagaimana pula dengan rumah Tuhan kamu? Sesungguhnya aku akan memohon kebaikan (beristikharah) daripada Tuhanku sebanyak tiga kali kemudian barulah melakukan urusanku."

2. Selepas tiga kali beristikharah, mereka telah sepakat untuk meruntuhkannya. Ketika hendak memulakannya, orang ramai merasa bimbang kalau-kalau orang pertama yang memulakan kerja tersebut akan di timpa bala dari langit. Kemudian seorang lelaki naik ke atas bumbung Kaabah lalu mencampakkan batu-bata runtuhan. Apabila orang ramai melihat lelaki tersebut tidak di timpa bala, mereka terus ikut melakukannya. Mereka membuang kesemua batu-bata sehingga menyamai tanah. Ibnu Az-Zubair membina beberapa batang tiang dan membina dinding di sekeliling tiang tersebut sehingga siap terdiri sebuah binaan. Kemudian mereka melakukan tawaf mengelilingi binaan Kaabah tersebut. Tiada seorangpun yang ketinggalan dari melakukannya.
3. Ibnu Az-Zubair berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar Saidatina Aisyah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Seandainya kaummu (orang ramai) telah lama meninggalkan masa jahiliah (dengan kekufuran) dan seandainya aku mempunyai harta untuk membiayai penambahan bangunan Baitullah tentu aku akan memasukkan kawasan Hijir Ismail itu selaras dengan Kaabah sebanyak lima hasta, kemudian aku akan membuat pintu masuk dan pintu keluar daripadanya." Ibnu Az-Zubair berkata: "Pada hari ini, aku telah mendapat kos pembinaannya dan tidak perlu bimbang keadaan orang ramai."
4. Setelah Ibnu Az-Zubair meruntuhkan Kaabah dan meratakannya sehingga menyamai bumi, beliau mencari asas Nabi Ibrahim a.s. Beliau menemui tapak asas tersebut berada lebih sedikit daripada enam hasta ke arah Hijir. Batu asas tersebut seolah-olah leher unta iaitu batu yang berwarna merah yang bertaut antara satu sama lain seperti genggaman jari-jari.
5. Ketika sedang menggali asas binaan Nabi Ibrahim a.s, beliau menemui sebuah kubur lalu berkata: "Ini adalah kubur ibu Nabi Ismail a.s (Siti Hajar)." Seramai lima puluh orang lelaki berserta dengan para pembesar mereka menyaksikan peristiwa tersebut.
6. Abdullah bin Muti' Al-Adawi telah memasukkan besi penuas yang berada di tangannya pada salah satu penjuru Kaabah lalu setiap penjuru Kaabah bergerak sedikit demi sedikit. Tanpa diduga tepi Kaabah telah runtuh menyebabkan seluruh Kota Mekah bergegar dengan kuat. Gegaran itu telah menakutkan mereka. Ibnu Az-Zubir berkata: "Saksikanlah!" Kemudian beliau membina binaan tersebut di atas asas Nabi Ibrahim a.s. Beliau juga membina dua buah pintu dari atas tanah, kedua-dua pintu tersebut berhadapan antara satu sama lain.
7. Ibnu Az-Zubair menambah ketinggian Kaabah sembilan hasta, menjadikan ketinggiannya setinggi dua puluh tujuh hasta.
8. Beliau menjadikan lebar dinding Kaabah dua hasta.
9. Beliau membina tiga batang tiang di dalam Kaabah menggantikan enam batang tiang yang dibina oleh orang-orang Quraisy.
10. Beliau mengambil batu marmar dari San'aa dan meletakkannya di bahagian atas untuk menguatkan pancaran cahaya.
11. Beliau membina pintunya yang terdiri dari dua daun pintu manakala panjang keduanya adalah sebelas hasta.
12. Beliau juga membina tangga kayu untuk naik ke atas Kaabah.
13. Setelah Ibnu Az-Zubair selesai membinanya, beliau menyapu bahagian dalam dan luar Kaabah dengan wangi-wangian, za'faran dan memasang kelambu.
14. Ibnu Az-Zubair mengeluarkan seratus ekor unta atau lembu lalu tawaf di sekeliling Kaabah dan melambai di setiap penjurunya.

Binaan Al-Hajjaj bin Yusuf Ath-Thaqafi:

1. Apabila Al-Hajjaj bin Yusuf memasuki Kota Mekah selepas pembunuhan Abdullah bin Az-Zubair, beliau terus menulis surat kepada Abdul Malik bin Marwan menyatakan setiap perkara yang telah Ibnu Az-Zubair lakukan. Abdul Malik bin Marwan menjawab surat tersebut dengan katanya: "Runtuhkanlah apa yang telah ditambah pada Hijir dan kembalikan ke asalnya serta tutuplah pintu yang dibuka di sebelah barat, kemudian biarkan bahagian-bahagian yang lain begitu sahaja."

2. Al-Hajjaj telah merobohkan dinding di Hijir dan membina kembali di tempat asalnya yang pertama kemudian memasukkan ruang ini ke dalam Hijir.

3. Membuang tangga kayu yang diletakkan oleh Ibnu Az-Zubair di dalam Kaabah.

4. Mengurangkan ketinggian pintu Kaabah sebanyak lima hasta.

5. Menutup pintu Kaabah di sebelah barat dan mengekalkan pintu yang lama pada kedudukan asalnya.

Binaan Sultan Murad Khan:

1. Kota Mekah telah dilanda hujan lebat bermula pada hari Rabu 19 Syaaban tahun 1039 H yang mengakibatkan banjir besar mengalir masuk ke dalam Masjidil Haram serta memenuhi hampir keseluruhan kawasannya. Pada hari Khamis, dinding di sebelah Syam dan sebahagian dinding-dinding di sebelah timur dan barat telah runtuh. Hujan yang masih lagi berterusan sangat membimbangkan orang ramai.

2. Orang-orang Islam diperintahkan bersiap-sedia untuk membina Kaabah sebagaimana keadaan sebelumnya. Kerja-kerja pembinaan Kaabah diteruskan atas perintah Sultan Murad Khan. Dengan limpahan kurnia Allah s.w.t, kerja-kerja tersebut siap pada 2 Zulhijah, tahun 1040 Hijrah. Pembinaan tersebut memakan masa enam bulan setengah.

3. Inilah binaan Kaabah yang terakhir dan masih kekal hingga ke hari ini. Projek-projek pembesaran terus dijalankan pada masa pemerintahan Kerajaan Arab Saudi seperti yang kita akan dapat lihat dalam tajuk peluasan al-Haram.

CARA MENGERJAKAN IBADAH UMRAH





PENGERTIAN UMRAH
Seseorang yang melakukan Umrah mesti melakukan empat (4) perkara iaitu rukun Niat Umrah, Tawaf Umrah, Saie Umrah, dan bergunting/bercukur umrah. Ketika melakukan empat (4) rukun di atas. Jemaah mesti melakukan dua (2) perkara wajib iaitu Niat di Miqat dan berpantang larang.

1. NIAT UMRAH
1.1- PERSEDIAAN BERNIAT
  • Memotong kuku
  • Menanggalkan bulu
  • Mandi
  • Memakai minyak rambut dan bau-bauan
  • Mamakai pakaian putih
  • Solat sunnat Ihram
1.2- MIQAT UMRAH

i. Miqat Zamani (Masa) – Pada bila-bila masa
ii. Miqat Makani (Tempat) –

  • Bagi penduduk Makkah adalah di Tanah Halal
  • Bagi penduduk jauh (Afaq) ialah di Qarnul Manazil – jika datang dari arah Timur seperti Malaysia, Telok Parsi dan lain-lain. Manakala di Bi’r Ali (Zulhulaifah) – jika datang dari arah Madinah dan Utaranya.
1.3- LAFAZ NIAT UMRAH

Maksudnya: “ sahaja aku mengerjakan Umrah dan aku berihram kerana Allah Taala”


1.4- TALBIYAH

Sunat bertalbiyah selepas berniat Umrah sehinggalah seseorang itu hendak memulakan tawaf Umrah berbunyi:-


1.5- PANTANG LARANG IHRAM

  • Memakai pakaian bersarung (lelaki)
  • Menutup muka (wanita)
  • Memakai sarung tangan
  • Memakai bau-bauan
  • Memakai minyak rambut
  • Menanggalkan bulu
  • Memotong kuku
  • Memotong pokok di Tanah Haram
  • Membunuh binatang buruan yang halal di makan di Tanah Haram atau Tanah Halal
  • Bersetubuh
  • Pendahuluan persetubuhan
  • Akad nikah
Pantang larang di atas berkuatkuasa setelah jemaah berniat Umrah dan tamat setelah bertahallul.

2) TAWAF UMRAH
2.1 SYARAT-SYARAT TAWAF
  • Suci dari hadas kecil dan hadas besar
  • Suci badan, pakaian dan tempat
  • Menutup aurat seperti dalam solat
  • Mula Tawaf dari sudut Hajar Aswad
  • Kaabah sentiasa di sebelah kiri
  • Bertujuan Tawaf
  • Cukup 7 keliling dengan yakin.
  • Tawaf di dalam masjid dan di luar Kaabah
2.2- SUNAT-SUNAT TAWAF
  • Berjalan kaki (kecuali jika uzur)
  • Berittibak (buka bahu kanan bagi lelaki)
  • Ramal / berlari-lari anak (pusing 1,2,3)
  • Istilam Hajar Asawad & Rukun Yamani
  • Membaca zikir dan doa. (lihat doa-doa di dalam buku Panduan Umrah)
  • Berturut-turut 7 pusingan
  • Tawadhuk & khusyuk
  • Solat sunnat Tawaf di Maqam Ibrahim.
  • Berdoa di Multazam
  • Minum air zam-zam sambil berdoa.
3) SAIE UMRAH
3.1- SYARAT-SYARAT SAIE
  • Dilakukan selepas Tawaf Umrah
  • Mula di bukit Safa
  • Cukup 7 perjalanan dengan yakin
  • Saie hingga sampai ke hujung
  • Saie di Batnul Wadi (landasan)
  • Bertujuan Saie.
3.2- SUNAT-SUNAT SAIE
  • Ke tempat Saie melalui pintu Safa
  • Naik Bukit hingga sampai ke batu
  • Di bukit, mengadap kiblat, angkat ke dua-dua tangan dan takbir.
  • Berlari-lari anak (bagi lelaki sahaja) si antara dua (2) tiang hijau sambil bedoa (lihat doa di dalam buku Panduan Umrah)
  • Tujuh (7) perjalanan berturut-turut
  • Berwuduk
  • Berjalan kaki (kecuali jika uzur)
  • Berdoa (lihat doa-doa di dalam buku Panduan Umrah)
4) BERGUNTING / BERCUKUR
4.1- SYARAT-SYARAT BERGUNTING / BERCUKUR
  • Dilakukan setelah selesai Saie Umrah
  • Menggugurkan rambut kepala sekurang-kurangnya tiga (3) helai
4.2- SUNAT-SUNAT BERGUNTING / BERCUKUR
  • Bercukur bagi lelaki
  • Berdoa ketika bergunting. (lihat doa-doa di dalam buku Pandua Umrah)
  • Melalukan mata pisau di atas kepala jika seseorang tidak mempunyai rambut.
TAHALLUL & TAMAT UMRAH
Setelah bergunting atau bercukur, sempurnalah Umrah yang dilakukan dan sekaligus tamatlah ihram atau pantang larangnya (tahallul).

DOA-DOA
Doa-doa ketika bertawaf, bersaie dan bergunting terdapat di dalam buku Panduan Haji dan Umrah di pasaran.