Tuesday, December 27, 2011

Peluasan Hajarulaswad

1. Orang pertama yang meletakkan kedudukan Hajarulaswad di tempatnya ialah Nabi Ibrahim a.s. Ia merupakan salah satu daripada permata delima dari Syurga.

2. Apabila Bani Bakar bin Abdu Manat bin Kinanah dan Ghaisyan bin Khuza'ah yang mana kedua-duanya dari Bani Jurhum keluar dari Mekah, Amru bin Al-Haris bin Madad Al-Jurhumi mengeluarkan dua ekor patung kijang yang diperbuat daripada emas dan juga Hajarulaswad lalu menimbusnya di telaga Zamzam. Selepas itu beliau dan sebahagian dari golongan Jurhum yang bersamanya pergi ke Yaman.

3. Penimbusan Hajarulaswad di telaga Zamzam berlaku tidak begitu lama. Seorang wanita dari Bani Khuza'ah telah menunjukkan tempat Hajarulaswad ditimbus kerana beliau melihat Bani Jurhum menimbusnya. Mereka telah mengembalikan Hajarulaswad ke tempatnya. Peristiwa itu berlaku sebelum Qusai bin Kilab mendirikan Kaabah.

4. Setelah orang-orang Qaramitah berjaya menguasai Mekah (di bawah pimpinan Abu Tahir Al-Qarmuti), mereka telah membunuh seramai 1,700 jiwa manusia di Masjidil Haram. Mereka di bunuh ketika bergantungan di Kaabah untuk menghalang orang-orang Qaramitah dari mengambil Hajarulaswad. Mayat mereka dicampakkan ke dalam telaga Zamzam sehingga penuh. Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya dipenuhi dengan mayat-mayat yang bergelimpangan. Orang-orang Qaramitah merampas harta benda orang ramai, hiasan-hiasan Kaabah, mencabut kelambu Kaabah dan membahagikannya di kalangan mereka. Mereka juga memusnahkan rumah-rumah di sekitar Mekah, mencabut pintu Kaabah dan saluran hujan yang diperbuat dari emas. Abu Tahir Al-Qarmuti telah memerintahkan Jaafar bin Ilaj mencabut Hajarulaswad. Hajarulaswad dicabut dari tempatnya pada 7 Zulhijah, tahun 317 selepas berlaku perbuatan dosa-dosa besar yang amat dikeji iaitu membunuh orang-orang yang sedang tawaf, beriktikaf dan yang mendirikan sembahyang. Setelah itu mereka membawa Hajarulaswad ke Hajar (Negeri mereka) dan tempatnya di Kaabah hanya tinggal kosong. Orang ramai masih meletakkan tangan mereka di tempat tersebut untuk mendapatkan keberkatan sehinggalah ia dikembalikan ke tempat asalnya pada hari selasa iaitu Hari Raya Korban, tahun 339. Dengan pengembalian tersebut, bermakna Hajarul Aswad hilang dari mereka lebih kurang dua puluh dua tahun. Orang yang mengembalikannya ialah Sinbar bin Hasan Al-Qarmuti.

5. Pada tahun 363, seorang lelaki dari negeri Rom datang ke Mekah lalu menghina dan memukul Hajarulaswad dengan sebilah cangkul di bahagian penjuru (Hajarulaswad) dengan pukulan yang kuat sehingga pecah. Beliau mengangkat tangannya sekali lagi untuk memukul tetapi telah ditikam oleh seorang lelaki Yaman dan berjaya mengalahkannya.

6. Pada tahun 413 Kerajaan Fatimiah menghantar sebahagian daripada pengikutnya dari Mesir yang telah dihasut oleh Hakim Al-Ubaidi. Di antara mereka terdapat seorang lelaki yang memiliki kulit berwarna merah, berambut perang, mempunyai badan yang perkasa dan tinggi lampai. Sebelah tangannya memegang sebilah pedang yang terhunus dan membawa "Dabus" (Sejenis alat seperti besi penuas). Beliau memukul permukaan Hajarulaswad tiga kali menyebabkan serpihannya berguguran jatuh. Beliau berkata: "Sampai bilakah Hajarulaswad ini akan disembah. Tiada siapa dapat menghalang aku dari melakukannya walaupun Muhammad dan Ali. Hari ini aku ingin meruntuhkan Kaabah." Tetapi sepasukan tentera berkuda telah mengepung beliau dan berjaya membunuh serta membakar beliau berserta pembantu-pembantunya.

7. Pada tahun 990 pula, seorang lelaki asing telah datang dengan membawa sebatang besi lalu memukul Hajarulaswad. Lantas Al-Amir Nasir menetak beliau dengan sebilah pedang lalu mati.

8. Pada akhir bulan Muharam tahun 1351, seorang lelaki dari negara Afghanistan datang ke Kaabah lalu mencabut dan mencuri sedikit Hajarul Aswad, secebis kelambu Kaabah serta seketul perak dari tangga Kaabah. Perbuatan lelaki tersebut diketahui oleh penjaga-penjaga Kaabah. Mereka berjaya menangkapnya dan kemudian dihukum gantung sebagai balasan terhadap perbuatannya. Pada 28 Rabiulakhir tahun 1351 Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman Al-Faisal, keluarga As-Saud dari Taif datang ke Masjidil Haram bertujuan untuk melekatkan kembali serpihan yang dicabut oleh tentera durjana. Usaha melekatkan serpihan itu dilakukan selepas dijalankan ujikaji adunan bahan kimia yang dicampur dengan kasturi dan ambar oleh mereka yang didatangkan khas untuk melekatkan serpihan Hajarulaswad.

No comments:

Post a Comment