Monday, March 29, 2010

PAKEJ HAJI & TENTANG HAJI


::PAKEJ HAJI::



~Harga pakej atau aturcaraperjalanan yang ditawarkan adalah tertakluk kepada perubahan
dari masa ke semasa.



PAKEJ HAJI SWASTA 2010 (KLIK)




HAJI



Definisi Haji:

Haji dari sudut bahasa: Menuju kepada Allah Yang Maha Agung.
Haji dari sudut Syarak: Mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dengan mengerjakan ibadat Haji. Ia adalah pekerjaan-pekerjaan tertentu yang dikerjakan pada masa, tempat dan cara tertentu.


Semua Mazhab bersependapat tentang definisi Haji.


Kelebihan Haji:


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:


(Sesiapa yang mengerjakan Haji dan dia tidak mencampuri isterinya serta tidak melakukan maksiat, dia akan kembali sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya).



Syarat-syarat Wajib Mengerjakan Haji:


  • Islam
  • Berakal
  • Berkemampuan
  • Merdeka
  • Baligh


Bentuk-bentuk Berkemampuan:

  • Selamat tubuh badan
  • Aman perjalanan
  • Tidak ditahan
  • Terdapat mahram atau suami bagi perempuan
  • Tidak berada dalam idah bagi perempuan


Syarat-syarat Sah Mengerjakan Haji:


  • Islam
  • Berihram
  • Masa (Miqat ihram menepati masa)
  • Tempat (Miqat ihram mengikut tempat)
  • Mumayyiz
  • Berakal
  • Boleh melakukan pekerjaan dengan sendirinya melainkan ketika keuzuran
  • Tidak bersetubuh


Cara-cara Mengerjakan Ibadat Haji:


Ia terdiri dari tiga cara iaitu:


1- Ifrad: Iaitu berniat Haji sahaja.
2- Tamattu': Iaitu berniat Umrah terlebih dahulu (iaitu dia berihram Umrah dari miqat yang ditetapkan untuk negerinya kemudian dia bertahallul dari ihram tersebut seterusnya berihram untuk Haji dari Mekah).

Dinamakan sebagai Tamattu' kerana dia memilih cara yang membolehkannya untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram di antara Umrah dan Haji.

3- Qiran: Iaitu berniat Haji dan Umrah bersama-sama (iaitu berihram Haji dan Umrah bersama-sama secara serentak).


Firman Allah Taala:

(فَمَنْ تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْي فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَة ٌذَلِكَ لِمَنْ لَمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ)


Yang bermaksud:


Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjidilharam (Mekah). (Surah Al-Baqarah, Ayat: 196).


Jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran dan Tamattu' diwajibkan menyembelih kambing biri-biri (dam) sebagai tanda syukur kepada Allah Taala kerana dia berjaya mengerjakan Umrah dan Haji pada bulan-bulan Haji dengan baik serta di dalam satu perjalanan musafir, sekiranya dia tidak mampu menyembelih dam, dia hendaklah berpuasa selama tiga hari pada musim Haji dan tujuh hari selepas dia pulang ke tanah airnya.


:: JENIS-JENIS HAJI ::



~Haji Tamattu`~


Haji Tamattu' ialah berihram Umrah pada bulan-bulan Haji. Setelah selesai mengerjakan Umrah dan telahpun bertahalul, orang haji akan berniat Ihram Haji pada hari Tarwiah dan dia dikenakan menyembelih Dam.


~Haji Qiran~


Haji Qiran ialah berniat Umrah dan Haji secara serentak dan orang Haji tidak boleh bertahallul dari Ihram sebelum melontar Jamrah Aqabah serta bercukur atau bergunting. Dia dikenakan menyembelih Dam.


~Haji Ifrad~


Haji Ifrad ialah berniat Ihram Haji sahaja dari miqat kemudian hendaklah kekal di dalam Ihramnya sehingga ke hari Nahar (korban). Orang Haji yang mengerjakan Haji Ifrad tidak dikenakan Dam.

Hukum dan Dalilnya:


Ibadat Haji difardhukan sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam, samada lelaki atau perempuan.


Dalil dari al-Quran:


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.
Allah s.w.t telah memfardhukan ibadat Haji pada tahun kesembilan hijrah dan Nabi s.a.w tidak pernah mengerjakan ibadat Haji kecuali Haji Wida'.


Dalil dari Hadith:


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Islam dibina atas lima rukun." baginda menyebut di antaranya ialah ibadat Haji.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

" Tidak ada ganjaran bagi Ibadat Haji yang mabrur kecuali Syurga."
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Sesiapa yang mengerjakan ibadat Haji dan tidak sekali-kali menyetubuhi isterinya juga tidak melakukan maksiat nescaya dia kembali suci bersih sebagaimana hari dia dilahirkan." Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Wahai umatku semua! Sesungguhnya Allah telah memfardhukan ibadat Haji kepada kamu, oleh itu kamu hendaklah mengerjakan ibadat Haji. Lalu seorang lelaki bertanya baginda: Adakah wajib dikerjakan pada setiap tahun wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w hanya diam sehinggalah lelaki tersebut bertanya kali ketiga lantas Rasulullah s.a.w menjawab: Jika aku katakan Ya, nescaya kamu wajib mengerjakannya pada setiap tahun, oleh itu kerjakanlah ibadat Haji ketika kamu berkemampuan."

Semua imam-imam bersependapat bahawa ibadat Haji adalah fardhu, malah ia adalah rukun Islam kelima dan ia juga fardhu yang perlu dikerjakan secepat mungkin.


No comments:

Post a Comment